Friday, April 2, 2010

Pelawak Din Beramboi Meninggal Dunia Jam 12.30 malam akibat Denggi Berdarah, Al-Fatihah..



Ini bukan lagi lawak, ia kenyataan. Merujuk kepada status Facebook Afdlin Shauki, Din Beramboi telah pergi meninggalkan kita kira-kira jam 12.30malam, Jumaat 2hb April 2010 bersamaan 17 Rabiatul Akhir. Seluruh ahli keluarga berada di sisi arwah ketika itu termasuk isteri dan tiga orang anaknya.

Abang iparnya telah mengesahkan arwah meninggal dunia akibat Denggi Berdarah atau Shock Dengue Fever, walaupun sebelum ini pelbagai spekulasi tentang penyakit arwah timbul. Al-Fatihah kepada arwah, dan takziah kepada ahli keluarga Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri. Arwah berusia 44 tahun. Arwah akan dikebumikan di tanah perkuburan Taman Ihsan, Kepong sebelum solat Jumaat.

Sebagai seorang peminat beliau, sudah pasti ia satu kehilangan besar di Malaysia. Masih teringat gelak ketawa menonton gelagat arwah dalam rancangan bersiri Spontan bersama rakan-rakan lain seperti Afdlin sendiri, Zizan, Nabil dan lain-lain. Paling tidak boleh lupa, klip video arwah bersama dengan Afdlin Shauki ketika parody lagu Ah Long Bukit Beruntung.

Dan sudah pasti, temannya di konti radio Aznil Hj. Nawawi akan merasa sunyi selepas ini kerana setiap pagi biasanya dia ditemani dengan gelak ketawa arwah Din Beramboi. Pastinya riuh pagi di Era.fm mungkin tidak lagi seriuh dulu..

Marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah.

Related Posts with Thumbnails