Friday, May 7, 2010

Japan 101 : Takoyaki, Okonomiyaki dan Banyak Lagi

Satu contoh set Washoku. Lengkap dengan sushi dan tenpura

Konbanwa! Selamat malam. Kali ini aku nak ubah selera sikit. Bukan belajar bahasa Jepun, tapi aku nak perkenalkan serba sedikit makanan orang Jepun kepada semua. Makanan Jepun di sebut "Washoku" atau dalam tulisan Jepunnya 和食. Boleh dikatakan makanan yang aku nak senaraikan ini ialah antara makanan kegemaran aku ketika belajar di Jepun dulu. Sudah tentu menu pilihan agak terhad, disebabkan tidak boleh makan daging (di kedai). Tetapi semua ini aku pilih yang tidak berdaging, semuanya seafood.

Kalau tak silap aku, kesemua menu ini boleh didapati di restoran-restoran Jepun di Malaysia. Rasanya mungkin ada sedikit beza, tetapi bolehlah nak menyamai selera orang Jepun. Ketika di Jepun dulu, ada kalanya aku dan rakan-rakan cuba masak sendiri di rumah menu-menu ini (cuba jaya), sebab nak merasa "versi" berdaging. Jadi kalau nak yang halal, kenalah masak sendiri.

Jom kita tengok 5 makanan kegemaran aku


Takoyaki - たこ焼き

Takoyaki ini pasti popular di Malaysia. Sebabnya ada dijual di Malaysia. Kalau tak silap aku, di Jusco, dan beberapa shopping complex terkenal di Malaysia ada gerai yang menjual takoyaki. Takoyaki bermaksud sotong bakar (direct translation). Tapi ia seperti kaya ball tetapi mempunyai inti daripada sayuran dan juga sotong (biasanya kurita). Cara masak takoyaki pun lebih kurang macam orang buat kaya ball. Acuan bulat-bulat tu, sambil dipusing-pusingkan menggunakan batang kayu macam chopstick. Masa di Jepun dulu, aku suka makan Takoyaki lepas balik kuliah. Lagi best kalau kena waktu winter. Masuk dalam mulut ketika panas-panas, memang lazat! Tapi sekiranya membeli di Jepun, kena berhati-hati. Sebab ada sebilangan kedai yang dikatakan mencampur daging babi bersama-sama sotong dalam takoyaki.

Okonomiyaki - お好み焼き

Okonomiyaki ini senang dijelaskan sebagai ala-ala pancake tetapi isinya adalah mengikut suka hati pelanggan. Nama Okonomiyaki itu sendiri bermaksud bakar mengikut kegemaran anda. "Yaki" bermaksud bakar/grill, dan "Okonomi" bermaksud mengikut kegemaran, "as your liking". Okonomiyaki biasanya terdiri daripada tepung, telur, bawang, sotong, udang, mochi, cheese dan macam-macam. Topping biasanya mayonaise, bbq sauce, dan "Katsuo" Ia seperti pancake Jepun yang berintikan seafood. Kadang-kadang ada juga ditambah dengan yakisoba.

Udon - うどん

Udon ini antara favourite dish. Sebab ia mengingatkan aku dengan laksa di Malaysia. Udon ialah mee yang dibuat dari tepung gandum. Bentuknya hampir sama dengan mee laksa, berwarna putih dan tebal. Udon terdapat berbagai jenis. Sangat banyak kalau nak disenaraikan. Tapi yang paling simple ialah "Kake Udon". Kalau dalam gambar diatas dinamakan "Tenpura Udon". Kalau pergi ke stesen keretapi JR, bila lapar dan tak sempat nak cari makanan lain..biasanya ada gerai Udon. Memang ke situlah aku akan pergi makan udon.

Soba - 蕎麦

Soba ini satu lagi jenis mee di Jepun. Ia dibuat dari tepung "buckwheat". Aku tak pasti apa namanya dalam Bahasa Malaysia. Gandum Kuda? Soba biasanya berwarna kelabu perang. Di tempat aku belajar dulu, Nagano merupakan antara Prefecture yang terkenal dengan Soba. Banyak kedai-kedai "pakar" Soba di Nagano. Hidangannya juga seperti Udon, ada bermacam-macam. Soba juga disediakan dalam hidangan panas ataupun sejuk. Kalau waktu musim panas, biasanya ada "Hiyashi Soba".

Tendon - 天丼

Yang terakhir sekali, Tendon. Bukan otot-otot tendon, tetapi singkatan kepada Tenpura dan Donburi, maka dinamakan Tendon. Seperti namanya ia sebenarnya hidangan nasi putih, dengan variasi tenpura. Biasanya dihidangkan dengan udang, terung, lobak putih, sotong, cili hijau, karot, cendawan dan sebagainya. Memang menjadi pilihan di hari-hari malas nak masak. Nasi di Jepun macam pulut. Jadi boleh makan dengan chopstick sampai licin. Tak tinggal sebutir nasi pun.

Wah, aku pulak jadi lapar bila tulis tentang makanan Jepun ini. Terkenang kembali zaman belajar, makan bersama kawan-kawan di restoran Jepun. Sushi pun dah lama tak merasa. Ada yang melawat restoran Jepun nanti nih! Korang bagaimana? Ada yang suka makanan Jepun?

SOURCE : semua gambar dipinjam dari google.com

Dah cuba FormSpring FTN? Malu bertanya sesat dalam blog!

Related Posts with Thumbnails