Saturday, December 12, 2009

Kemalangan Ngeri Ragut Nyawa Pengantin Baru Nikah 3 Jam!

Jodoh pertemuan, ajal dan maut semuanya di tangan Allah. Siapa sangka pengantin yang baru saja selesai akad nikah meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku hanya 4 jam selepas bergelar suami. Tidak dapat dibayangkan perasaan pasangannya yang baru bergelar isteri, bila mendapat berita tentang kejadian tersebut.

Menurut laporan dari Kosmo, lokasi kemalangan hanya beberapa kilometer dari rumah mangsa. Untuk maklumat lanjut, sila baca petikan dari kosmo di bawah.

Takziah dan Al-fatihah untuk mereka semua.



PADANG BESAR - Cinta zaman kolej yang berputik antara Mohd. Ariff Ab. Kadir dan Teh Afifah Syahirah Abdul Hamid untuk melayari bahtera perkahwinan tidak kesampaian apabila pengantin lelakinya terkorban dalam kemalangan hanya selepas tiga jam dia dinikahkan semalam.

Mohd. Ariff, 23, maut apabila kereta yang dinaikinya bertembung dengan bas membawa 27 penumpang di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar di sini pada pukul 1 petang.

Turut terkorban, ibu dan bapa Mohd. Ariff iaitu Habsah Othman, 58, dan Ab. Kadir Awang, 53, serta jurugambar pada majlis akad nikah Mohd. Ariff, Mohd. Farhan Musa, 18.

Keempat-empat mangsa itu terkorban dalam kereta Proton Iswara yang dipandu oleh Ab. Kadir. Bagaimanapun, pemandu dan semua penumpang bas sekolah yang dijadikan bas persiaran itu tidak cedera.

Semasa kejadian, keluarga malang itu dalam perjalanan pulang ke Taman Melati di sini selepas majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan di Masjid Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Jarak lokasi kemalangan dengan rumah Mohd. Ariff hanya kira-kira lima kilometer.

SOURCE : KOSMO

0 feedbacks:

Post a Comment

Sila komen dengan bernas dan pandangan korang amatlah dialu-alukan

Related Posts with Thumbnails