Tiba-tiba saja keluar berita mengenai perkahwinan artis yang sudah lama menyepi, Faizal AF4 baru-baru ini. Mulanya aku tak ambil peduli kerana perkahwinan adalah perkara biasa. Dalam artikel yang pertama kali di siarkan, Faizal AF4 mengaku telah berkahwin secara rahsia. Mungkin sebagai seorang artis beliau mahu sedikit privasi dalam kehidupan, dan tidak mahu isteri nya dijadikan bahan laporan wartawan hiburan. Ok, aku terima.
Tetapi, bila membaca artikel terbaru yang dipetik dari Mingguan Malaysia 13hb (hari ini), agak pelik kerana kedua ibu bapa kepada Faizal AF4 sendiri tidak tahu tentang perkahwinan anaknya sehingga 2 bulan selepas mereka bernikah. Pelik bukan? Perkahwinan yang dirahsiakan dari keluarga? Apa kes?
Bapanya mengulas bahawa lelaki lebih mudah berkahwin berbanding perempuan kerana tidak perlu wali. Tapi adakah itu bermaksud kedua ibu bapa tidak perlu tahu? Bukankah keberkatan dari kedua ibu bapa yang kita cari?
Bagi aku kedua ibu bapa Faizal AF4 memang 'sporting' habis! Apa pendapat pembaca sekalian?
Artikel di Utusan Malaysia bertarikh 11 December
Faizal AF4 mengaku sudah berkahwin
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Teka-teki tentang status penyanyi dan pelakon, Mohd. Faizal Ramly, 25, yang juga juara program realiti terkenal Akademi Fantasia musim keempat (AF4) berakhir hari ini apabila beliau mengaku sudah berkahwin.
Faizal yang ditemui pada majlis tayangan amal filem terbaru lakonannya, Pulau Asmara di TGV KLCC di sini memberitahu, dia telah menamatkan zaman bujangnya pada 12 Februari lalu dengan gadis pilihan hati yang berasal dari Temerloh pada satu majlis ringkas di Terengganu.
"Ya, saya mengaku sudah berkahwin. Saya tak mahu tipu sesiapa sebab itu saya perlu jujur mengakuinya.
"Saya tidak mahu menafikan kerana saya faham perasaan seorang isteri jika suaminya menafikan tentang status perkahwinan," kata Faizal yang telah dua tahun mengenali isterinya itu.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Lihatlah itu menafikan bahawa dia merahsiakan perkahwinannya gara-gara ditangkap basah tidak lama dahulu.
"Saya tiada niat merahsiakan perkahwinan tersebut bagaimanapun, saya berdiam kerana tiada sesiapa yang bertanya kepada saya.
"Terus-terang memang saya sudah berkahwin tetapi sumpah, peristiwa tangkap basah tidak pernah berlaku," kata artis sulung di bawah pengurusan Alakazam Productions itu.
Dengan pengakuan itu, Faizal memohon agar kisah perkahwinannya tidak lagi digembar-gemburkan dan menjadi perhatian ramai selepas ini.
Isteri Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datin Seri Masnah Rais merasmikan tayangan amal filem tersebut.
Filem yang menelan belanja RM1.3 juta itu bakal memulakan tayangannya di pawagam pada 17 Disember ini.
Pengerusi Eksekutif Snap Productions Sdn. Bhd., Datuk Alexander I, ketika ditemui memberitahu, wang yang dikumpul daripada tayangan amal tersebut bakal disalurkan kepada badan-badan kebajikan sekitar ibu kota termasuk persatuan kanser dan kurang upaya.
Artikel di Utusan Malaysia bertarikh 12 December
MARANG 12 Dis. - Ibu bapa Faizal AF4 hari ini mengesahkan anak mereka adalah suami kepada pelakon, Nur Ashikin Mior atau lebih dikenali dengan panggilan Ikin dan mereka telah bernikah pada 12 Februari lalu.
Ikin yang sudah dua tahun dikenali Faizal merupakan pelakon tambahan dalam filem Momok The Movie yang turut dilakonkan oleh Faizal.
Bapa Faizal, Ramly Yaacob, 60, mengakui beliau lewat mengetahui tentang perkahwinan tersebut, namun pasrah dengan apa yang berlaku dan bersedia menerima Ikin sebagai menantu sekiranya itu pilihan Faizal.
"Dia (Faizal) yang nak kahwin dan itu pilihan dia. Biarlah, kami terima saja (dengan siapa Faizal kahwin)," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Kerak di sini hari ini. Turut hadir, isterinya, Zalidah Awang.
Ramli, seorang kontraktor memberitahu, beliau dan keluarga hanya mengetahui pernikahan Faizal dengan Ikin yang berlangsung di rumah pengantin perempuan, kira-kira dua bulan selepas majlis tersebut.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya mereka sekeluarga menghadapi krisis dengan Faizal disebabkan tidak menghadiri majlis perkahwinan di Temerloh pada Februari lalu.
"Kami tak ada masalah dan tak ada krisis, cuma dia (Faizal) tak nak beritahu (pernikahan) kerana dia rasa perlu berahsia dulu sebelum memutuskan untuk buat pengumuman mengenainya.
"Sebenarnya kami pun tak tahu siapa pilihan hatinya sebab dia ada ramai kenalan wanita. Biasalah sebagai artis, dia ada ramai peminat, jadi biarlah dia pilih sendiri siapa bakal isterinya. Dia ada alasan sendiri dan tak nak susahkan orang.
"Lagipun, orang lelaki kalau nak kahwin tak macam perempuan, lelaki mudah (kahwin) kerana tak perlu cari wali, orang perempuan pula kena cari wali dulu baru boleh kahwin," jelasnya.
Menurutnya, beliau sekeluarga bercadang untuk mengadakan kenduri di sebelah pengantin lelaki di rumahnya di Kampung Sungai Kerak di sini dalam waktu terdekat ini.
Ibu Faizal, Zalidah, 48, pula sewaktu ditemui turut bersetuju dengan suaminya bahawa mereka sekeluarga merestui perkahwinan Faizal dan terserah kepada anak sulungnya itu untuk memilih siapa isterinya.
Katanya, Faizal sebelum ini ada pulang ke rumahnya bersama isteri pada Hari Raya Aidiladha dan bermalam di rumah datuknya yang terletak berdekatan.
Akhbar hari ini melaporkan pengakuan juara AF4 itu bahawa beliau sudah berkahwin dengan wanita pilihannya dan majlis pernikahan berlangsung di rumah keluarga perempuan di Temerloh pada 12 Februari lalu.
SOURCE : UTUSAN MALAYSIA
0 feedbacks:
Post a Comment
Sila komen dengan bernas dan pandangan korang amatlah dialu-alukan