Zaman sekarang nih, bukan setakat rasuah duit dan harta. Rasuah seks pun sudah berleluasa. Mungkin sudah berlaku sejak dahulu, tapi sekarang lebih terang-terangan.
Lebih sedih lagi kalau melibatkan lebih ramai orang Melayu beragama Islam, berbanding bangsa lain.
Di mana rasional pemikiran kita?
Baca petikan dari Bharian di bawah.
PUTRAJAYA: Setiausaha kerja seorang Exco Selangor dan setiausaha sulit seorang ahli politik adalah antara 34 orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima sogokan serta rasuah seks berhubung kes mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri.
Penahanan besar-besaran itu dibuat dalam beberapa siri operasi kelmarin dan semalam hasil risikan, intipan, pemantauan dan pemerhatian sejak April tahun lalu berikutan 410 maklumat awam yang diterima SPRM.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Shukri Abdull, berkata selain dua pegawai ahli politik, turut ditahan 24 kakitangan awam yang sebahagiannya pegawai dan ketua jabatan, lima orang awam dan tiga kakitangan swasta.
Dalam operasi itu, SPRM juga merampas wang tunai kira-kira RM50,000 dan beberapa dokumen.
Beliau mengesahkan pasir yang dicuri itu diseludup ke negara jiran.
Shukri berkata, seorang kakitangan kerajaan sudah didakwa di Ipoh, kelmarin, berhubung kes itu.
Katanya, siasatan mendapati setiap individu terbabit dipercayai menerima sogokan antara RM500 hingga RM50,000 termasuk ada yang mendapat wang secara bulanan dan tiga membabitkan rasuah seks.
Beliau berkata, sindiket mencuri dan menyeludup pasir di lima negeri itu dikatakan membabitkan sogokan lebih RM280,000, selain rasuah seks.
Shukri enggan mendedahkan lima negeri terbabit, tetapi difahamkan kes berkenaan berlaku di Johor, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
“Operasi masih berjalan dan SPRM menjangka akan ada lagi beberapa tangkapan dan saya berharap orang ramai memberi kerjasama.
"Saya tidak ada jumlah (akan ditahan) tetapi dijangka ramai lagilah... ada kemungkinan (pangkat) tinggi lagi, tunggu, sabar dan lihat," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Difahamkan, dua daripada 24 kakitangan awam ditahan itu adalah ketua jabatan kerajaan di Selangor.
Shukri juga merujuk kepada ketegangan yang berlaku di Shah Alam, semalam, apabila pegawainya dihalang daripada menahan seorang individu yang bekerja dengan ahli politik.
Semua 34 individu itu disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.
“Rasuah itu untuk memproses permohonan mengeluarkan pasir, mempercepatkan permohonan pengeluaran pasir dan tidak mengambil tindakan ke atas (kegiatan) pasir yang dibawa keluar tanpa permit,” katanya.
Beliau enggan menjelaskan mengenai rasuah seks, tetapi meminta media menunggu sehingga perbicaraan.
Shukri berkata, sebahagian daripada mereka yang ditahan dibebaskan selepas diambil keterangan manakala bakinya masih ditahan untuk disoal siasat.
Terdahulu, di SHAH ALAM, Setiausaha Kerja kepada Exco Selangor ditahan pegawai suruhanjaya itu di pejabat wakil rakyat berkenaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, bagi membantu siasatan.
Beliau dibawa sepasukan lima pegawai SPRM diketuai Superintendan Prem Raj Victor ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya jam 3.30 petang, diiringi Exco itu dan peguam dilantik kerajaan negeri.
Exco itu yang ditemui mengesahkan pegawai SPRM mengambil tiga dokumen berkaitan profil sebuah syarikat melombong pasir dan dokumen lawatan ke China.
Di IPOH, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM30,000 ke atas pembantu am rendah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ipoh yang mengaku salah menerima suapan RM6,000 untuk kelulusan mengeluarkan pasir Sungai Menora, Mukim Sayong di Kuala Kangsar, Perak.
Noorazhar Azlan, 48, dituduh melakukan perbuatan itu di Dulang Coffee House, Hotel Excelsior di sini, jam 12.15 tengah hari, 15 Januari lalu.
Hakim Tan Hooi Leng dalam keputusannya berkata, tertuduh melakukan kesalahan keji dan boleh memberi kesan bukan saja kepada dirinya, tetapi masyarakat umum.
Bagaimanapun, katanya, individu itu berjaya ditahan dan dibawa ke ibu pejabat suruhanjaya di sini selepas perbincangan lebih sejam dengan peguamnya.
“Justeru, hukuman ini adalah mesej kepada diri kamu (tertuduh) dan juga orang lain," katanya.
SOURCE : Berita Harian
0 feedbacks:
Post a Comment
Sila komen dengan bernas dan pandangan korang amatlah dialu-alukan